DARIPADA pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan, Daniel Amier Nor Hisham kini menjadi sandaran utama untuk memacu impian skuad negara memburu tempat ke suku akhir Kejohanan Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Kunshan, China.
Pada awalnya, percaturan pengendali Datuk Ong Kim Swee menurunkan Daniel, 21, ketika aksi menentang Iraq amat mengejutkan sedangkan Nor Azam Azih biasa digandingkan bersama Syamer Kutty Abba di bahagian tengah.
Namun, pemain FELDA United itu membalas kepercayaan Kim Swee dengan aksi baik meskipun tewas 1-4 kepada Iraq pada perlawanan pertama Kumpulan C.
DANIEL Amier Nor Hisham (kiri) pemain tenang dan bijak melorongkan bola kepada Akhyar Abdul Rashid yang menjadi punca sepakan penalti ketika menentang Jordan.
Bukan saja tenang mengawal bahagian tengah, malah Daniel bijak melorongkan bola kepada Akhyar Abdul Rashid yang menjadi punca sepakan penalti ketika seri 1-1 menentang Jordan.
"Saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan daripada jurulatih untuk bermain di dalam kesebelasan utama walaupun sedar saya bukan pilihan sebelum ini.
"Saya sentiasa mahu berikan aksi lebih baik berbanding dua perlawanan itu. Pengalaman daripada perlawanan berkenaan memberikan saya lebih keyakinan andai diberi peluang bermain menentang Arab Saudi," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.
Malaysia pada satu ketika mampu memberikan permainan menarik dengan corak hantaran pendek dalam dua perlawanan awal tapi sayangnya aksi itu tak bertahan lama apabila bola mudah dirampas pemain lawan.
Ia diakui sendiri oleh Daniel, bekas pelatih Frenz United yang mahu semua pemain meningkatkan prestasi andai mahu mencipta kejutan ke atas Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Kunshan, esok.
"Saya rasa kita sudah berani bermain hantaran pendek walaupun kami diasak dengan pasukan lawan tetapi kami masih berani. Kami mahu bermain lagi hantaran pendek tetapi dalam masa sama, kami mahu lebih berani dan yakin untuk buat hantaran pendek," katanya.
Sumber : http://web.news365.my


